Friday, 5 January 2007

sing sing

aku memang sentimental. sepanjang hari ini aku teringat zaman kanak-kanak aku.

masa itu, nama aku sing-sing.
aku kuat nangis.
kawan aku ialah kak epi,nanang, din-din, babi, atin, boney, sidi, pendi, majuk, piang, salina, nain, sakira.
kami main dari pagi sampai petang.
mengelilingi kampung perigi.


kami main polis-polis. kami main jadi-jadian. kami main tapuk-tapukan. kami main lempar tin. kami main batu semban. kami main getah. kami main ekis. kami main kayu lelek. kami main layang-layang. kami main masak-masak. kami main orang-orang. kami main engkek-engkek.main tepuk daun. kami main bola keranjang. kami main bola tengah.

waktu tengah hari, kami juga suka menyanyi sambil berayun laju dan tinggi di bawah pokok mangga.kami suka lagu fauziah latif, ziana zain dan awie. lagu spring, spoon, slam, wings semua kami nyanyi.


kami suka hujan. berlari-lari keliling kampung. bersiram di bawah atap rumah amah haji. kalau hujan cukup lebat, belakang rumah kak epi banjir. kami suka berlari-lari disana sambil mencuri rambutan. kami juga suka makan mangga amah haji. orang lain selalu kena marah kalau membaling mangga-mangga itu dengan batu. tapi tidak aku sebab aku cicitnya. kami suka kumpul sejenis tumbuhan yang meletup kalau dibasahkan. biasanya kami baling di dalam longkang dan berpura-pura itu ialah mercun. kami suka baling rumput yang melekat ke baju orang.

kami suka main dekat-dekat perigi. babi, din-din, atin mandi di situ. dorang kena angkat air setiap petang dari perigi itu ke rumah dorang. kami tunggu pokok kapas di sebelah perigi menggugurkan kapas. kemudian kami berebut bagi dengan mak masing-masing untuk buat bantal.

kami percaya pencawang eletrik warna oren di jalan masuk kampung kami berhantu. kami takut anjing uncle tian sing yang sentiasa menyalak. kami percaya satu pondok terbiar penuh dengan sabut kelapa tua di tepi kampung ialah pusat pengait (pemenggal kepala kanak-kanak untuk dijadikan jambatan) oh ya, babi pernah jatuh dalam perigi kami. boney lahir tidak boleh berjalan, tapi setiap petang kami tolong dia berlatih berjalan di depan rumah kak epi.

kami tengok filem hindustan setiap petang sabtu.kadang-kadang video filem filipina di rumah piang atau kak epi. kami tengok power rangers. kami suka thundercats, flashman, maskman, gaban, ultraman, kesatria baja hitam dan doraemon.

kami selalu pergi beli minyak gas dan cas bateri di stesen shell dekat pencawang oren berhantu. sebab rumah piang, din-din, babi dan boney tiada letrik. dorang masih pakai lampu gas dan guna bateri itu untuk hidupkan tv. kami sorong gelen dan bateri guna kariton (kereta sorong).
kereta sorong warna hijau yang banyak nostalgia.

tapi aku jahat, bila sudah besar. aku tidak cari pun dorang. malah aku mengelak untuk lalu di jalan rumah dorang. bukan aku lupa daratan. tapi aku malu. aku bukan lagi sing-sing yang kuat nangis. yang suka berlari-lari setiap petang. yang paling handal main lompat getah. aku malu. sebab aku sudah menjadi orang lain sejak aku ke sekolah menengah. tapi kamu semua masih lagi sama. kamu yang dulu. aku cemburu untuk menjadi kamu.

tapi percayalah, aku sentiasa rindu semua saat-saat itu.

1 comment:

BooK said...

those were the days. la la la la la.